Sudah tentulah saya tidak menonton filem ini dari DVD seperti yang dipaparkan di sebelah. Tapi saya pasti ia tetap sama mengujakan dan menarik untuk diperbincangkan.
Selepas setahun (lewat?) baru saya sempat menonton kisah Eddie yang melalui detik sukar dalam hidupnya. Beliau seorang penulis yang sudah kekeringan idea, teman wanita sudah tidak mahu peduli lagi dan rumah kucar kacir seperti sarang lipas.
Datang Vernon, bekas adik iparnya, dengan sebiji pil lutsinar yang mengingatkan saya sedikit kala Morpheus halakan pil biru dan merah pada Neo dahulu. Pil NZT yang Vernon tawarkan ini tidak pula buat Eddie 'bangun' dan masuk ke lubang arnab tetapi lebih kepada menjadikannya lebih segar, mata lebih buntang dan pemikiran lebih jelas dan teratur. Dari situ bermulalah cerita yang sedikit kalut tetapi bersama pengakhiran yang ceria di akhirnya.
Sepanjang pengembaraan Eddie bersama pil NZT membuatkan saya tertanya, adakah ini jalan yang saya akan pilih jika saya berpeluang untuk menelan NZT? Adakah saya akan cukup berani untuk mempergunakan otak saya dan menipu dunia hanya untuk berada selesa di atas sana?
Persoalan ini sedikit terjawab bila setiap tindakan Eddie, seperti meminjam wang dari lintah darat, cuba bermain dengan dunia bursa yang kejam dan cuba kembali kepada kekasih lamanya Lindy disimpulkan dengan penyelesaian yang menyenangkan. Eddie nampaknya kebal bila bersama pil tersebut.
Saya suka lakonan Bradley Cooper sebagai Bradley. Beliau yang juga penerbit amat meyakinkan perubahannya dari seorang yang lemah dan sudah hilang harapan kepada seorang yang berkuasa dan hampir tidak takutkan apa-apa sudahnya. Robert De Niro datang dengan mengingatkan saya sedikit dengan wataknya dalam Meet the Parents. Tapi paling saya suka adalah watak Gennady yang Andrew howard bawa, bukan kerana beliau bagus sangat tapi kerana mengingatkan saya kepada Jason Statham.
Apapun, filem yang baik untuk mengisi masa terluang. 7/10 (Saya sebenarnya letak 8/10 di IMDB tapi, entahlah, tiba-tiba jadi makin kurang suka pula).
Monday, April 09, 2012
Ulasan dari Rumah: Limitless
Posted by Siberkop at 1:09 PM
Labels: 2011, bradley cooper, limitless, robert de niro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 Comment:
saya pon bagi film ini 7 saja...cause ia terlalu meleret at times..
bradley cooper pula...sangat bagus dlm ini filem..hem
Post a Comment